Ular sawa albino 120 kilogram tumpas
TAMPIN 3 Mei - Ternakan ayam sering hilang. Lebih pelik, kambing juga terus lesap entah ke mana.
Puas penduduk Kampung Seri Repah dekat sini mengintai siapa punya angkara. Tidak cukup dengan kawalan tengah malam, ada yang berkawal pada siang hari.
Akhirnya semalam, segala kebimbangan, keresahan dan tanda tanya sejak berbulan itu terjawab apabila seekor ular sawa albino sepanjang 8 meter ditemui penduduk kampung itu.
Menurut penduduk di situ, ular sawa seberat 120 kilogram itu ditemui di kawasan tanah perkuburan Islam dekat kampung berkenaan dalam keadaan kekenyangan.
Ketua Skuad Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Tampin, Mohd. Arfahzal Musa berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung itu yang menemui reptilia tersebut pada pukul 5.45 petang.
"Sebaik sahaja kami tiba, ular sawa itu sedang bersembunyi di kawasan tanah perkuburan berkenaan.
"Ketika itu, berdasarkan lingkaran lilitannya, kami percaya ia reptilia yang besar dan selepas didekati, panjangnya dianggarkan 8 meter," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Mohd. Arfahzal, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular itu dengan menggunakan khidmat empat anggota JPAM.
Menurutnya, dengan penangkapan ular sawa itu, penduduk kampung tersebut kini tidak perlu lagi bimbang kehilangan haiwan ternakan mereka.
Reptilia itu, kata Mohd. Arfahzal, akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri tidak lama lagi.
2 comments:
oo0ooo..ulo sawo
owang nogori panggil besau
Catat Ulasan